Monday, June 7, 2010

Kasihanilah Ia...

Di mana sifat kemanusiaan zaman sekarang ni, di manakah kasih sayang. Sedangkan seekor binatang pun sanggup mempertahankan anaknya daripada diganggu oleh musuh, inikan pula manusia yang mempunyai akal fikiran yang cukup cantik yang dijadikan oleh Allah. Membiarkan bayi yang tidak berdosa terkapai-kapai kesejukkan tanpa sehelai selimut dan hanya ditemani oleh sang lalat, sang semut dan plastik sampah membaluti badan yang tidak berdosa.



Saya tidak sanggup melihat gambar-gambar ini..sebak, sedih, marah, geram dan bercampur-baur perasaan saya ketika melihat wajah-wajah yang tidak berdosa diperlakukan sebegini. Ya Allah......

Tidakkah mereka sedari sebenarnya anak-anak itu menangis.....merintih dan memohon agar jangan biarkan mereka di situ. Dibiarkan seorang diri..

Allah berfirman dalam surah Al-Kahfi ayat 46; yang bermaksud:

" Harta dan anak adalah perhiasan kehidupan dunia...."

Anak-anak adalah anugerah Allah yang cukup bernilai. Tidakkah mereka ketahui bahawa dosa yang dibuat itu akan menghantui diri mereka seumur hidup, akan timbul kekesalan dalam diri atas dosa yang dilakukan. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan terutama di kalangan remaja hari ini banyak mendorong penularan kes-kes sebegini dan berleluasanya masalah zina.

Duhai Adik-adikku, duhai sahabat-sahabatku, duhai remaja harapan bangsa....

Takutlah kepada Allah di mana jua kita berada. Takutkan Allah ketika bersendirian ataupun ramai sebagai formula hidup dan insyaAllah itulah yang akan dapat menyelamatkan daripada kebinasaan iman. Saudara Mohd Al-Adib Samuri dalam artikelnya dalam majalah Solusi ada menyebut :

"Jenayah boleh dicegah dengan menanam rasa takut kepada Allah, bukan rasa takut kepada undang-undang manusia. Takut kepada Allah yang boleh bertindak dengan tindakan-NYA yang di luar jangkaan kita, baik di dunia dan di akhirat. Menanam rasa takut kepada Allah ketika ramai mahupun ketika bersendirian"

Nabi mewasiatkan kepada Muaz r.a ketika mengutuskan ke Yaman. Baginda bersabda yang bermaksud:

"Wahai Muaz, takutlah Allah di mana jua kamu berada, dan takutilah kejahatan dengan kebaikan yang akan memadamkannya, dan berakhlaklah kepada manusia dengan akhlak yang baik"

Sabda Rasulullah S.A.W:

"Hendaklah kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihatnya, jika sekiranya tidak melihatnya yakinlah bahwa Allah melihat segala perbuatan kamu itu"


No comments:

Post a Comment