Monday, June 7, 2010

Antara Kebenaran & Kebatilan

Kebenaran umpama mentari dipagi hari, memancar terang dan jelas namun kegoaan dan kedegilan menjadikannya jauh dari hati kita.

Sememangnya kebenaran memiliki kekuatannya tersendiri yang menjadikannya sukar untuk dinafikan. Misalnya kebenaran yang mengatakan 'api itu panas'. Siapa yang mampu menafikan kebenaran bahawa api itu panas. Mungkin ada yang boleh menafikannya tetapi bukan dengan jalan rasional tetapi dengan cara emosional iaitu dengan pendekatan bahasa atau sastera atau mungkin melalui paksaan.

Kerana itulah kita sering melihat pendokong kebathilan terpaksa menggunakan jalan emotional untuk menafikan kebenaran. Abu Jahal menolak Islam bukan kerana kepalsuan Islam tetapi kerana 'takut' kehilangan pangkat dan kuasa. Abu Jahal sendiri pernah ditemui mengintai-intai atau mencuri dengar ajaran Rasulullah SAW dengan penuh minat. Abu Jahal sebenarnya yakin dengan kebenaran yang dibawa oleh Rasullah SAW tetapi kerana 'takut'kan kehilangan pengaruh dan kuasanya dia terpaksa mempertahankan kebathilan yang menjadi pegangan. Begitu juga Abu Sufian yang dihantar ke Habsyah untuk berbincang dengan raja Habsyah supaya dapat membawa pulang umat Islam yang berhijrah kesana, usahanya gagal apabila terpaksa menjawab pertanyaan tentang Islam dan dakwah Rasulullah SAW. Dia terpaksa mengakui kebenaran Islam dan pulang dengan tangan kosong.

Dalam suasana hari inipun kita dapat melihat keruntuhan dan kerosakan generasi muda melalui hiburan melampau, pergaulan bebas, dadah dan sebagainya. Semua ini jelas merosakkan dan tidak memberi kebaikan walau sedikit tetapi kenapa aktiviti begini terus berkembang. Kelemahan jiwa manusia untuk menerima dan mendokong kebenaran menyebabkan masyarakat terus rosak.

Permasalahan hari ini bukanlah permasalahan mencari kebenaran tetapi bagaimana menerima dan berpegang kepada kebenaran. Punca keruntuhan ummat adalah kerana lemahnya jiwa mereka untuk menerima kebenaran walaupun mereka boleh bezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Yang tidak ada hari ini adalah kemahuan untuk mengubah diri kepada yang lebih baik bukan kerana kebaikan itu tersembunyi dan tidak mungkin kebenaran dan kebaikan itu dapat disembunyikan. Bahkan kekuatan kebenaran akan terus bertahan.

Allah SWT berfirman;

"Tidak ada paksaan dalam beragama tetapi telah jelas antara petunjuk dan kesesatan. Dan sesiapa yang mengkufuri (mengingkari) Toghut dan beriman kepada Allah maka dia telah berpegang pada tali yang kukuh dan tidak akan putus, dan Allah maha mendengar dan maha mengetahui " Al Baqarah: 256.

No comments:

Post a Comment