Memang parah dilema anak luar nikah. Bebanan yang terpaksa ditanggung diri dan keturunannya kelak bukan calang-calang. Tatkala bayi-bayi comel yang lahir ke dunia disambut gembira, dia pula disambut dengan simpati & cemik dalam suasana hiba.
Mana tangis syukur ibu sambil memeluk erat dirinya? Mana gema seruan azan dilagukan ayah di cuping telinganya? Mana tawa ria saudara-mara dengan kata-kata pujian dan tahniah buatnya memenuhi sebuah dimensi alam yang baru dimasukinya? Kosong.
Ia bagaikan epilog sedih yang harus dilalui oleh bayi tersebut. Namun, dia masih belum mampu merasai itu semua. Hanya difahami oleh hati-hati yang masih punya sifat kasih sayang dan perikemanusiaan. Hati ibu dan ayahnya, hanya Allah yang tahu sama ada menyesal atau langsung tak kisah!
Apabila bayi yang tidak berdosa itu makin membesar, kesedihan tetap memburu hidup. Bebanan masih tergalas dibahu. Dicaci dan dicela. Manakala satu-persatu kenyataan menyesakkan sanubari perlu dihadapi. Hingga di matanya, masa depan itu samar-samar, seolah-olah hanya mengharapkan takdir memberi sinar harapan.
Istilah Anak Tidak Sah Taraf
Menurut laporan yang dipaparkan dalam Berita Harian tahun lepas, terdapat hampir 17, 303 anak tidak sah taraf yang didaftarkan sepanjang 2009. Fenomena peningkatan kes kelahiran anak luar nikah bagai penyakit berjangkit. Semakin terjebak, semakin merebak.
Merujuk kepada persidangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 5 Safar 1425 bersamaan 26 Mac 2004, anak yang didaftarkan sebagai anak tidak sah taraf boleh diklasifikasikan di bawah tiga keadaan.
Pertama, anak itu ialah anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol. Kedua, anak yang dilahirkan kurang enam bulan dua lahzah Qamariah (bulan Hijriah) dari waktu akad nikah dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah.
Ketiga, anak yang dilahirkan lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar ( pengakuan ) mereka yang berkenaan ( suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya dan tidak diingkari oleh pihak yang satu lagi ), atau adanya 4 orang saksi yang melihat berlakunya zina dan kesaksiannya pula memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak.
Kita Tetap Hamba-Nya Jua
Pelbagai dugaan yang perlu ditanggung oleh anak tersebut apabila ingin melangkah ke setiap fasa seterusnya dalam kehidupan. Bahkan, mungkin bertimpa-timpa kesukaran bakal dihadapi ketika dia bakal mendirikan rumah tangga. Penerimaan manusia, sukar dijangka.
Walau bagaimanapun, sebagai sebuah masyarakat yang hidup dalam satu komuniti, jangan terlalu menanam rasa benci pada anak-anak yang sedang diberi ujian di pentas dunia ini. Tidak adil melontar batu-batu penghinaan kepada mereka sedangkan mereka itu ibarat mangsa kepada nafsu serakah yang membuta.
Anak-anak ini juga harus terus kuat menyelusuri terowong-terowong kehidupan yang gelap dan dikelilingi duri-duri tajam. Kita manusia semua adalah sama. Tidak kira bagaimana kita dilahirkan, siapa ibu bapa kita dan bagaimana perjalanan hidup kita. Destinasi syurga itulah yang perlu dijadikan inspirasi perjuangan.
Berpeganglah pada firman Allah, "Sesungguhnya orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah SWT ialah yang paling bertakwa." (al-Hujurat: 13). Biar di mata manusia engkau bagaikan sampah kerana membawa dosa ibu dan ayah, asalkan di pandangan Allah, engkau umpama permata yang semakin bersinar tiap kali dikeji dan diuji!
Sunat Rahsiakan Status Anak Luar Nikah
Dalam Islam, tiada istilah anak lahir di luar nikah itu dengan anak haram. Jika ada yang mengatakan istilah itu ada, sila cari dalam kitab suci al-Quran atau hadis Rasulullah SAW yang menyebutnya demikian.
Sebenarnya, kedudukan anak ini sama saja dengan anak yang lain. Kemuliaan seseorang di sisi Allah SWT berdasarkan ketakwaannya. Ia juga bukan kerana soal keturunan atau asal usulnya.
Perlu diingat, anak ini tidak berdosa kerana yang berdosa adalah ibunya. Seharusnya, anak ini tidak turut berdosa hanya disebabkan dosa ibunya. Seperti firman Allah SWT dalam surah al-An'am ayat 164:
"Dan tidaklah menanggung dosa oleh seseorang akan dosa orang lain."
Ibunya pula, jika ia sudah taubat dengan taubat nasuha, maka sucilah si ibu terbabit daripada dosanya dengan maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT. Kita tidak boleh mencacinya, baik terhadap anak itu atau ibunya akibat kesilapan yang pernah dilakukan sebelum ini.
Diriwayatkan daripada Abi Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila sudah berzina seorang hamba perempuan, maka nyatalah zinanya, maka hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina pula kali kedua, hendaklah dideranya sebagai hukuman dan janganlah dicacinya. Kemudian jika ia berzina kali ketiga, hendaklah dijualnya walaupun dengan (harga) tali dari bulu."
Oleh itu, apabila kita mengetahui keadaan dan kedudukan asal usul seseorang yang kurang baik, sunat bagi kita sembunyikan perkara itu dan jangan dihebahkan baik yang berkepentingan atau pun kepada yang lainnya. Kecuali ketika mana ia berbuat mungkar, maka wajib diingkari. Wallahua'lam.
sumber : iluvislam.com
iyer simpati meruap2 melihat anak2 yg tidak berdosa ini menjadi mangsa kezaliman manusia....selagi kita mampu untuk membantu anak2 sebegini kita akn bantu menjdikan anak angkat atau pun sebaliknyer
ReplyDeletek.eyda : betul tu kak.. kesian tengok budak-budak yang nasibnya sebegini.. sama-samalah kita bantu.. saya ada ambik anak angkat dari golongan yang macam ni.. sedih bila fikir masa depannya nanti..
ReplyDeleteteringat isu adik siti nurhaliza tuh..sapa namanyerr..saerah ek...menurut teman2 terdekat mmg betul anak tu anak yg x saf taraf...nauzubillah..kalo la betul,harapnye dia bertaubatla..anak tu mmg x salah,bygkan jela masa hadapan nye nanti kan...
ReplyDeletehanya Allah sahaja yang tahu... memang tak boleh nak di bayangkan macam mana lah mereka ini menghadapi hari2 yang mendatang nanti.. moga ALLAh menolong golongan yang macam ni..
ReplyDeletealahai sedih nyer kan..kesian bbe ternaya mcmni...
ReplyDeleteliya~jemput joint GA akak yer..