Kita lupa Dia akan marah
Semalam kita hidup. Hari ini kita diizinkan bangun. Sedang dosa-dosa semalam belum kita usahakan untuk Allah ampunkan. Hari ini kita tambah lagi dosa-dosa kita. Luka semalam belum kita ubati, hari ini kita tambah lagi luka-luka di dalam hati. Bertimbun.
Kita selalu lalai. Kita selalu lupa. Kita rasa senang dengan kehidupan penuh ketidak kisahan ini. Kita rasa terbuai dengan kehidupan ini. Esok masih ada. Esok masih ada. Esok masih ada. Esok boleh taubat. Allah itu Maha Pengampun, tak mengapa buat dosa banyak-banyak. Itu sangkaan kita.
Sedang kita lupa bahawa, ada satu hari, Allah akan melepaskan kemarahan-Nya tanpa tertahan-tahan.
Allah akan marah semarah-marahnya.
Allah Yang Maha Penyayang.
Allah itu tiada tandingannya. Dalam apa jua medan, Allah SWT adalah yang terhebat. Hal ini kerana Dia adalah pencipta yang Maha Perkasa, Maha Bijaksana, Berkuasa Atas Segala-galanya, dan tiada siapa mampu menyaingi-Nya.
Dalam keperkasaan-Nya yang tiada tandingan itu, Allah SWT juga adalah yang Maha Penyayang, Maha Pengasih lagi Maha Pengampun. Dalam medan ini juga, tiada siapa dapat menandingi Allah SWT.
Lihatlah kasih sayang Allah SWT.
“Aku adalah sebagaimana hamba-Ku sangkakan mengenai-Ku, dan Aku bersamanya ketika mana dia mengingati-Ku. Sekiranya dia mengingati-Ku dalam satu majlis, maka Aku akan mengingatinya dalam majlis yang lebih mulia lagi. Sekiranya dia mendekatiku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Sekiranya dia mendekati-Ku sedepa, maka Aku akan mendekatinya lebih daripada itu. Sekiranya dia datang mendekati-Ku dalam keadaan berjalan, maka Aku akan mendekatinya dalam keadaan yang pantas” hadith riwayat Muslim.
“Allah memanjangkan tangan-Nya pada waktu malam untuk mengampunkan pembuat dosa di waktu siang dan Allah memanjangkan tangan-Nya pada waktu siang untuk mengampunkan pembuat dosa pada waktu malam sehinggalah terbit matahari dari barat” Hadith Riwayat Ahmad dan Muslim.
“Barangsiapa yang bertaubat sebelum terbitnya matahari dari barat, maka taubatnya akan diterima” Hadith riwayat Ahmad dan Muslim.
Lihatlah kasih sayang Allah.
Tetapi persoalannya, siapakah yang mengasihi Allah SWT dengan mengambil peluang-peluang ini?
Tetapi kita mengkhianati.
Tetapi bagaimanakah pula layanan kita kepada Allah SWT?
Bila kita berdosa, kita tidak pergi pada keluasan keampunan-Nya. Kita hanya menjadikan keampunan-Nya yang amat luas itu sebagai alasan untuk kita terus melakukan dosa, pengingkaran dan kemaksiatan.
“Ala, Allah kan Maha Pengampun.”
Begitu sikap kita.
Manusia jenis apakah kita ini?
Perasankah kita, berapa umur kita sekarang?
20 tahun? 40 tahun? 60 tahun?
Kemudian marilah bersama kita kira berapa hari kita telah tidur dan Allah izinkan kita bangun kemudian kita melakukan dosa pada hari yang Allah hadiahkan untuk kita itu. Seterusnya kita tidur lagi dalam keadaan tidak bertaubat seakan-akan kita yakin dengan 100% keyakinan bahawa kita akan datang kepada hari kita membaca artikel saya sekarang ini.
Lihat. Betapa tidak sensitifnya kita kepada Allah SWT.
Kita langsung tidak peka. Kita hanya menganggap dosa kita seperti lalat yang hinggap pada hidung sahaja. Kita sangka, bila kita kuis dosa itu, dosa itu akan hilang begitu sahaja.
Betapa angkuhnya kita kepada Dia.
Betapa kita ini telah mengkhianati-Nya.
Akan ada satu hari nanti Dia akan marah semarah-marah-Nya
Itulah dia hari akhirat. Hari Allah SWT akan membalas segala perbuatan manusia. Baik dan buruk pada hari itu tidak akan mendapat belas kasihan-Nya kecuali yang terpilih sahaja. Pemeriksaan Allah pada hari itu akan tersangat-sangat ketat tanpa ada perlonggaran.
Allah SWT akan mengotakan janjiNya:
“Maka barangsiapa yang melakukan kebaikan walau sebesar zarah, tetap akan dihitung. Dan barangsiapa yang melakukan kejahatan sebesar zarah, juga akan tetap dihitung.” Surah Al-Zalzalah ayat 7-8.
Hingga ada orang yang ingkar di dunia berharap bahawa dia sebelumnya adalah tanah.
“… iaitu hari seseorang melihat apa yang telah diusahakannya; dan orang yang kafir akan berkata (pada hari itu): “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” Surah An-Naba’ ayat 40.
Pada hari itu tiada lagi peluang untuk yang melupakan-Nya di dunia. Bahkan, mereka yang melupakan Allah SWT itu, Allah akan melupakan pula mereka itu pada hari kiamat dan tidak menghiraukan pula urusan mereka. Allah akan menambah pula kesusahan manusia-manusia ingkar ini dengan kesusahan yang melampau pada hari itu.
“Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit, dan Kami akan himpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta. Ia berkata: Wahai Tuhanku, mengapa Engkau himpunkan daku dalam keadaan buta, padahal aku dahulu melihat? Allah berfirman: Demikianlah keadaannya! Telah datang ayat-ayat keterangan Kami kepadamu, lalu engkau melupakan serta meninggalkannya, dan demikianlah engkau pada hari ini dilupakan serta ditinggalkan.” Surah Toha ayat 124-126.
Allah tidak akan menutup aib mereka yang tidak pernah merasa malu dengan dosa mereka. Semuanya akan ditayangkan. Tiada yang akan disembunyikan. Semuanya akan dikira. Dihitung. Dihisab.
Pada hari ini, manusia-manusia yang soleh juga kerisauan. Hatta para Rasul dan Nabi juga bergementaran. Mereka takut dengan kemurkaan Allah dalam keadaan mereka itu memang orang yang taat dan bersih. Apatah lagi manusia yang selama hidupnya ingkar kepada Allah SWT.
Di dalam Hadith riwayat Bukhari, bernombor 7510, dan Hadith Riwayat Muslim bernombor 193, dinyatakan bagaimana manusia pada hari itu akan bergerak mencari nabi-nabi untuk meminta perlindungan. Mereka pergi kepada Nabi Adam, kemudian pergi kepada Nabi Ibrahim, kemudian pergi kepada Nabi Musa, kemudian pergi kepada Nabi Isa. Tetapi semua Nabi itu dalam ketakutan juga. Walaupun mereka Nabi-nabi Allah yang dikasihi.
Mereka semua berkata:
“Bukanlah aku untuk itu(untuk kamu meminta perlindungan)” dan menunjuk kepada Nabi yang lain.
Begitulah dasyatnya hari itu. Hatta para Rasul juga akan ketakutan.
Allah akan marah semarah-marahnya hari itu.
Tiada lagi ikhtiar, dipadam segala peluang untuk bertaubat dan mengumpul amal.
“Hari kiamat tidak akan terjadi sebelum terbitnya matahari dari barat. Ketika matahari terbit dari barat, semua manusia akan beriman. Tetapi pada hari itu tidak bermanfaat lagi iman seseorang untuk dirinya apa yang belum diimani sebelum itu, atau kebaikan yang belum diusahakan semasa keimanannya dahulu” Hadith Riwayat Bukhari.
Hari itu tidak jauh. Jangan fikir anda banyak masa
Bila disebut hari kiamat, hari akhirat, ramai yang menyangka ianya panjang dan masih jauh. Tetapi hakikatnya kiamat itu amat dekat. Dekat untuk setiap orang. Hal ini kerana, tiada siapa tahu bila nyawanya terhenti.
“Sebenarnya mereka memandang azab itu jauh (daripada berlaku), Sedang Kami memandangnya dekat,” Surah Al-Ma’arij ayat 6-7.
Ada orang bermain dengan gembira, sihat walafiat di tengah padang bola, meninggal tiba-tiba. Ada seorang sheikh, sedang memberi ceramah dalam keadaan sihat, malah sedang menuturkan kalam, tiba-tiba terdiam dan jatuh meninggal dunia. Ada orang yang sedang memandu, berhenti di lampu isyarat, tiba-tiba didapati dia tidak bergerak-gerak walaupun lampu sudah hijau, bila diperiksa dia telah meninggal dunia.
“Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali akan melambatkan kematian seseorang (atau sesuatu yang bernyawa) apabila sampai ajalnya; dan Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai segala yang kamu kerjakan.” Surah Al-Munafiquun ayat 11.
Apakah ini? Bagaimana kita sangat yakin bahawa kita akan hidup sampai 10 tahun lagi. Bagaimana agaknya kita sangat yakin bahawa petang ini masih milik kita? Sedangkan lagi 10 minit pun kita tidak dapat pastikan bahawa kita akan hidup?
Tetapi kita tidak peduli. Kita tidak pernah hendak memandang atau mengambil berat perkara ini.
“Ah, tak apa. Allah Maha Pengampun”
“Tak apa, esok ada lagi.”
Kemudian kita menambah dosa, dosa, dosa dan dosa lagi.
Bertaubat? Mencuci kekotoran diri? Tidak sekali.
Dan hakikatnya kita telah mengkhianati kasih sayang Allah. Kita seakan-akan telah menempah kemurkaan-Nya pada hari Dia akan murka semurka-murka-Nya.
Penutup: Apakah belum tiba masanya wahai pendosa?
Hari ini bukan hari itu. Hari ini kita masih diberi peluang. Saya masih menulis tulisan ini. Anda masih diberikan peluang untuk membacanya.
Maka sampai bilakah kita hendak mengendahkan kasih sayangNya?
Sampai bilakah kita hendak mengkhianati cintaNya?
Belum tibakah masanya kita tunduk?
Belum tibakah masanya kita taat?
Kenapa kita masih boleh berkira-kira untuk menyerahkan diri kita kepada Allah SWT? Kenapa kita seakan-akan lebih mempercayai dunia yang akan hancur ini berbanding Allah SWT yang Abadi?
“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras, dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.” Surah Al-Hadid ayat 16.
Ingatlah bahawa akan ada satu hari Allah akan benar-benar marah.
Hari Dia akan memalingkan wajah-Nya.
Dan ketika itu kita hanya menanti dilemparkan ke neraka sekiranya kita tidak membersihkan diri dan hati kita sekarang.
Sources : Facebook by Dunia Macam-macam